Biro IPT ISMA memainkan peranan yang amat besar dalam menggerakkan platform pelapis terdiri dari barisan pemuda-pemuda yang rata-ratanya mahasiswa pusat pengajian tinggi. Sememangnya difahami bahawa pada lingkungan umur yang masih muda ini, banyak tenaga samada dari segi fizikal mahupun mental yang mampu disumbang dalam usaha menggembleng tenaga untuk mewujudkan persekitaran kemasyarakatan yang sihat dari segenap aspek.
Justeru, pelbagai aktiviti dilakukan mencakupi pelbagai bidang yang bersifat keilmuan seperti usrah, program qiyamullail dan majlis ilmu, kepada yang bersifat lasak seperti riadah, rehlah dan jaulah ke serata tempat.
Biro IPT menyedari bahawa mereka mendukung aspirasi ISMA yang menyandarkan harapan agar terlahirnya golongan pemuda dan pemudi yang bukan sahaja lengkap dari segi kefahamannya terhadap ilmu Islam malah jitu dan teguh perlaksanaannya dalam kehidupan seharian.

