Menjelang Sepuluh Yang Terakhir …

Persiapan merangkumi TIGA aspek iaitu ilmu, sentimen dan iradah. Ilmu sahaja tidak akan menjamin berhasilnya sesuatu impian dan cita-cita. Begitu juga sentimen, walaupun ia mudah panas, akan tetapi ia juga mudah sejuk ditambah dengan sibuknya kita membuat persiapan hari raya dan bermacam-macam urusan dan agenda lain. Justeru ia mesti diikuti dengan kehendak dan keazaman menggunung yang dilakarkan secara bertulis, boleh dibaca, dilihat, dipantau dan disemak. Dengan gabung jalin antara TIGA unsur ini barulah kita mampu memberi nafas yang lebih bertenaga kepada Ramadhan kita kali ini.

[a] ILMU

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa menghidupkan malam al Qadar (dengan melakukan ibadat) dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dariNya, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Muttafaq `Alaih)

Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Carilah dengan bersungguh-sungguh malam al Qadar pada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan.” (Muttafaq `Alaih)

Daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Carilah dengan bersungguh-sungguh malam al Qadar pada hari-hari ganjil di sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan.” (Riwayat al Bukhari)

Daripada Aisyah RA berkata: “Apabila masuk sepuluh hari terakhir daripada bulan Ramadhan, maka Rasulullah SAW akan menghidupkn malamnya, mengejutkan isteri-isterinya dan mengikat kainnya (kiasan kepada menjauhi isteri dan bersungguh melakukan ibadah kepada Allah).” (Muttafak `Alaih)

 

Daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersungguh-sungguh melakukan ketaatan di bulan Ramadhan tidak sepertimana di bulan yang lain. Dan baginda SAW bersungguh-sungguh melakukan ketaatan pada sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadhan tidak sepertimana hari-hari yang lain di bulan tersebut.” (Riwayat Muslim)

 

Daripada Aisyah berkata: Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku apakah yang patut aku perkatakan sekiranya aku dapat menemui malam al Qadar? Rasulullah SAW menjawab: “Sebutlah Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi ampun, maka ampunilah aku.” (Riwayat at Tarmizi dan dia berkata: Hadis Hasan Sahih).

 

Daripada Ibnu Abbas RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa berjalan untuk memenuhi keperluan saudaranya (menolongnya), maka ia lebih baik dari dari i`tikaf sepuluh tahun. Sesiapa yang beri`tikaf dengan niat ikhlas kerana Allah selama sehari, maka Allah akan memisahkannya dari api neraka dengan tiga parit; jarak antara parit itu adalah lebih jauh daripada dua ufuk di kaki langit.” (Riwayat at Tabarani dengan isnad yang baik, al Hakim di dalam kitab al Mustadrak `Ala Sahihain dan dia berkata: Isnad yang Sahih. Sila lihat kitab Majma` az Zawa`ied oleh al Haithami, jilid 8, ms 192).

I`TIKAF

Bermaksud duduk di masjid dan tidak keluar untuk tempoh tertentu dengan niat taqarub kepada Allah. Merupakan riadhah rohani, pembersih jiwa dan pensuci hati dari syahwat dan dunia. Hukumnya sunat dan sangat digalakkan terutamanya pada sepuluh hari yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Maqasid di sebalik I`tikaf ialah:

  • · Mencari-cari Lailatul Qadar
  • · Khulwah dengan Allah
  • · Fokus kepada ibadah seumpama solat, doa, zikir dan tilawah Quran
  • · Memelihara puasa daripada sesuatu yang boleh mencacatkannya
  • · Mengurangkan perkara keduniaan yang mubah (zuhud)

Amalan yang sunat dilakukan oleh orang yang beri`tikaf termasuk berzikir, bertasbih, bertahmid, berselawat, membaca Quran, mengulangkaji ilmu dan membaca bahan bacaan bermanfaat. Makruh baginya melakukan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. I`tikaf akan terbatal dengan beberapa sebab antaranya keluar dari masjid dengan sengaja dan tanpa tujuan yang dharurat, hilang akal, murtad, jimak.

TEMPOH MINIMA

Tempoh paling singkat untuk i`tikaf ialah seketika sebagaimana pandangan Jumhur Fuqaha (Hanafiah, Syafieyah dan Hanabilah). Ini bermakna jika seseorang Muslim masuk ke masjid untuk menunaikan sembahyang fardhu atau sunat lalu dia berniat i`tikaf, maka baginya pahala i`tikaf selagimana dia berada di masjid.

 

Imam Malik pula berpendapat bahawa tempoh minima untuk i`tikaf ialah sehari semalam.

TEMPOH MAKSIMUM

Jumhur Fuqaha: Tiada had masa

Imam Malik: Sebulan

TEMPAT I`TIKAF

Di masjid. Sebahagian fuqaha (Hanafiah dan Ahmad) mensyaratkan ia mestilah masjid yang didirikan padanya sembahyang berjamaah. Sementara Imam Malik berpendapat: I`tikaf boleh dilakukan di semua masjid meskipun di masjid yang tidak didirikan sembahyang berjamaah padanya.

 

Adapun bagi perempuan, Hanafiah berpendapat tempat i`tikafnya adalah tempat yang dikhususkan untuk sembahyang di rumahnya. Sementara Jumhur Fuqaha (Syafieyah, Malikiah dan Hanabilah) pula berpendapat ia mestilah dilakukan di masjid dan tidak boleh di rumahnya.

[B] SENTIMEN

Tanpa disedari kita telahpun berada di minggu-minggu terakhir bulan Ramadhan. Bagaimanakah pencapaian amalan kita pada 2/3 Ramadhan yang telah lalu? Adakah kita telah berjaya memanfaatkan detik-detik yang berlalu itu untuk melipat gandakan kebaikan dan mensucikan diri? Apakah kita telah beroleh Rahmah dan keampunan seperti yang dijanjikan oleh Allah? Jika kita masih belum menggarap erti sebenar puasa dan kelebihannya, maka kita masih lagi berpeluang untuk menebusnya di 1/3 terakhir ini. Barangkali inilah peluang terakhir kita untuk memburu keampunan dan keredhaanNya. Padanya terdapat satu malam yang jauh lebih baik daripada seribu bulan.

Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah bahawa bagi Tuhan pada hari-hari kamu itu hembusan-hembusan (indah yang menyegarkan jiwa). Justeru maka dedahkanlah diri kamu dengan hembusan-hembusan itu. Mudah-mudahan ia akan mengenai salah seorang daripada kamu. (Sesiapa yang terkena hembusan itu) maka dia tidak akan celaka selamanya.”

Apakah ada di sana hembusan yang yang lebih hebat berbanding hembusan di sepuluh hari terakhir ini? Apakah ada di sana hari yang lebih mulia dari hari-hari di mana al Quran diturunkan?

 

Sesungguhnya sepuluh hari yang terakhir ini merupakan hari-hari yang melimpah ruah padanya kebaikan dan kelebihan.

[C] IRADAH

Kita catat dengan penuh azam dan kesungguhan apakah perkara-perkara yang ingin kita capai secara spesifik di sepuluh terakhir ini. Sebagai contoh kalau 2/3 yang lalu kita infaq RM 1 sehari, kita azam untuk memastikan bahawa di 1/3 terakhir ini kita infaq RM 2. Atau kita bangkit untuk sahur pukul 5 am usahakan pada sepuluh terakhir ini kita bangkit jam 4 am untuk kita solat tahajjud, solat taubat, bermunajat dsbnya.

“Ya Allah berilah kami Taufik untuk melakukan apa yang Engkau sukai dan redha.”

Disediakan oleh,

Ustadz Zaidi
ISMA Melaka.

 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: