Agenda Sesudah Ramadhan ..

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

“(Semoga) Allah Menerima (amalan) Kami dan Anda Semua”

Beberapa hari sahaja lagi, maka doa ini yang merupakan syiar dan ucapan tahniah umat Islam di Hari Raya mereka pasti akan berkumandang memenuhi pelusuk alam. Ucapan yang mengiringi ibadah puasa dan haji ini jelas menunjukkan bahawa qabul dalam amalan adalah merupakan kemuncak harapan yang didambakan oleh setiap Muslim yang tahu hakikat hidupnya di atas muka bumi ini. Justeru tidak hairanlah mengapa Muslim yang serius akan sentiasa memanjatkan doa pengharapan sebaik selesai melakukan ketaatan: “Wahai Tuhan kami, terimalah amalan kami sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

 

Kepentingan Qabul

Kita sedia maklum bahawa setiap orang yang bekerja itu pasti mahukan pulangan dan ganjaran. Bagi seorang petani, dia sanggup berhempas pulas di ladanganya kerana mahukan hasil tuaian yang memberangsangkan. Cuba kita bayangkan bagaimanakah agaknya perasaan seorang petani itu jika dia mendapati tiada hasil tuaian yang dipungut pada akhir musim! Dan inilah yang digambarkan oleh Allah dalam firmanNya:

وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوْا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُوْرًا

Maksudnya: “Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.” (al Furqan: 23)

Dalam satu Athar diriwayatkan bahawa Nabi Sulaiman pada suatu hari telah menemui seorang petani yang sedang mengusahakan tanahnya. Sebaik sahaja melihat kehebatan Nabi Sulaiman yang ketika itu sedang mengenderai angin, maka lelaki itu pun berkata: Sesungguhnya keluarga Daud telah dikurniakan dengan kerajaan yang besar. Nabi Sulaiman kemudiannya turun lalu berkata: “Wahai hamba Allah, satu ucapan tasbih yang diterima oleh Allah jauh lebih baik dari dunia dan seisinya”

 

Abu Darda` RA berkata: “Kalau aku tahu bahawa Allah Azza Wa Jalla menerima daripadaku sembahyang dua rakaat, maka akulah orang yang paling bahagia.”

 

Pernahkah kita terbayang atau memikirkan adakah amalan puasa dan qiam serta segala kebaikan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan ini diterima di sisi Allah? Atau adakah kita lebih selesa dengan budaya take for granted kerana yang penting kita dah buat dan hati kita rasa tenang! Sedangkan sikap yang sering menjadi budaya generasi Salafusoleh yang lalu ialah mereka sering dibuai rasa bimbang kalau-kalau amalan mereka tidak diterima. Jiwa mereka sentiasa merasai kekurangan dan kecuaian sewaktu melaksanakan amalan tersebut. Malah jiwa mereka turut dipenuhi dengan pengharapan agar amalan tersebut benar-benar diterima di sisi Allah. Di sinilah letaknya kepentingan kita menghimpunkan perasaan khauf (bimbang) dan raja` (penuh harap) dalam setiap amalan yang kita lakukan.

Sebab Qabul

1. Islam

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (ali Imran: 85)

2. Ikhlas

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan TuhanNya, hendaklah ia mengerjakan amalan yang salih, dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” (al Kahfi: 110)

Ibnu al Qayyim berkata: “Sesuatu amalan yang dilakukan tanpa ikhlas dan tidak menuruti sunnah (iqtida`), maka ia adalah umpama seorang musafir yang mengisi bekas air minumannya dengan pasir; ia sekadar memberatkan tetapi tidak memberi sebarang manfaat.” (al Fawa`ied – ms 44)

3. Ittiba` as Sunnah

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al Imran: 31)

4. Taqwa

Firman Allah:

Maksudnya: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.” (al Maidah: 28)

5. Tidak diiringi perasaan bangga dan takjub

Menurut Ibnu al Qayyim ia lebih halus dari ikhlas.

 

Tanda-tanda sesuatu amalan diterima

 

  • Dikasihi oleh manusia

Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya apabila Allah mengasihi seseorang, maka Dia akan memerintahkan Malaikat Jibrail supaya berseru kepada penduduk di langit: Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mengasihi si fulan, maka hendaklah kamu mengasihinya. Lalu merekapun mengasihinya. Kemudian diletakkan baginya qabul di dunia.” (Riwayat Muslim)

  • Beroleh taufiq untuk melakukan amalan kebaikan sesudah itu

Di dalam satu Athar disebut bahawa apabila Allah Taala menerima amalan seseorang hambaNya, maka dia akan diberi taufiq (petunjuk) untuk melakukan amalan soleh selepasnya.

Hasan RA berkata: “Antara tanda ibadat haji seseorang itu diterima ialah dia akan menjadi manusia yang zuhud hidupnya di dunia dan akan sentiasa mengutamakan akhirat.”

  • Berterusan dalam amalan tersebut

Sesuatu yang kerana Allah, maka ia akan berkekalan. Sedangkan sesuatu yang bukan keranaNya, maka ia akan terputus dan tercerai.


Agenda Selepas Ramadhan

Apakah yang perlu kita lakukan sesudah Ramadhan ini? Persoalan yang seakan menjadi gambaran dan ukuran sejauh manakah Ramadhan yang berlalu itu benar-benar membekasi dalam hidup kita. Adalah suatu yang malang dan merugikan jika diri kita hanya berubah kerana Ramadhan, sedangkan di bulan-bulan yang lain kita terus kekal sebagaimana keadaan kita yang biasa. Inilah yang sering diperkatakan oleh generasi Salafussoleh: “Barangsiapa yang menyembah Ramadhan, sesungguhnya Ramadhan telahpun berlalu pergi. Dan barangsiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Dia Maha Hidup dan tidak akan mati.”

Dengan maksud yang hampir sama, Dr Yusuf al Qardhawy turut mengingatkan kita semua dengan katanya: “Jadilah kita manusia yang Rabbani (terikat dengan Allah dalam setiap situasi dan keadaan) dan jangan hanya ketika Ramadhan sahaja (bermusim).”

Ketahuilah bahawa antara tanda sesuatu amalan itu diterima ialah seseorang itu beroleh taufiq untuk terus menerus melakukan amalan kebaikan. Justeru wahai mereka yang menahan lidahnya di bulan Ramadhan daripada mengumpat dan menyebut perkataan yang keji, maka teruskan usahamu itu semoga Allah mengurniakan kedudukan yang mulia. Wahai mereka yang menahan pandangannya di bulan Ramadhan daripada melihat perkara-perkara yang haram, maka tahanlah pandanganmu itu semoga Allah mengurniakan kemanisan iman. Wahai mereka yang menahan pendengarannya di bulan Ramadhan daripada mendengar perkara yang haram dan melalaikan, maka janganlah sesekali kamu mengulanginya kembali. Sesungguhnya Allah Maha Melihat segala tindak-tandukmu. Wahai jiwa-jiwa yang pemurah kepada insan yang memerlukan di bulan Ramadhan, maka ringan-ringankan tangan untuk terus memberi sesudah Ramadhan. Wahai lidah-lidah yang dibasahi zikir dan al Quran di bulan Ramadhan, jangan engkau biarkan ianya gersang dan usang sesudah Ramadhan. Wahai jiwa-jiwa yang menghidupkan malam dengan munajat dan solat di bulan Ramadhan, maka jangan engkau biarkan detik-detik berharga itu berlalu sepi sesudah Ramadhan.

 

“Ya Allah berilah kekuatan kepadaku untuk terus menjadi hambamu yang bertaqwa.”

Disediakan oleh,
Ustadz Zaidi,
ISMA Melaka.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: