Selamat Eid Adha 1429 Hijriyah.

LabbaikAllahumma Labbaik !!

Hari ini, barisan jemaah haji menyahut panggilan Allah SWT, menunaikan wukuf di padang Arafah, salah satu rukun ibadah haji yang mana jika tidak dapat dilaksanakan, makanya sia-sialah akan keberangkatan mereka ke tanah suci pada tahun itu. Amalan memperbanyakkan zikrullah dan memohon keampunan daripada Yang Maha Pencipta terutamanya pada hari ini dan kemudiannya pada hari tasyrik banyak kedapatan dan telah juga disebut dalam Al-Quran,

Maka apabila kamu telah bertolak dari Arafah, berzikirlah kepada Allah di Masy`arilharam. Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah sebagaimana yang ditunjukkan-Nya kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu benar-benar termasuk orang-orang yang sesat. Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang-orang banyak (Arafah) dan mohonlah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [2:198-199]

.

Bicara tentang Eid Adha pastinya tidak pernah melepaskan kita untuk turut mengenang kisah kurban dan pengorbanan dua insan mulia, Ibrahim dan Ismail alaihissalam. Akan pasti terngiang di halwa telinga kita betapa hebatnya hamba Allah yang mulia ini dalam konteks ketaatan mereka yang tiada berbelah bahagi terhadap perintah Allah SWT. Bahkan, saya kira tidak keterlaluan jika dikatakan para pembaca sudah amat masak dan sinonim dengan cerita ini, yang akhirnya melahirkan golongan yang berlumba-lumba mengorbankan peliharaan mereka tatkala Eid Adha menjelang, lantaran berkongsi aspirasi yang sama tentang ertikata pengorbanan. Alhamdulillah.

Namun, bicara Editor kali ini cuba menyingkap perihal ibrah dan pengajaran dari  ibadah mulia ini melalui sudut pandang yang jarang diperbahaskan.  Ketaatan hamba Allah Ibrahim a.s. amat ketara. Thiqah baginda pada jalan da’wah memberi faham pada kita, golongan terkemudian ini bahawasanya agama ini menuntut perjuangan yang tidak boleh disukat dengan ilmu matematika moden. Reaksi spontan Ismail a.s. kemudiannya diterjemahkan sebagai keperibadian unggul seorang anak terhadap perintah bapanya. Saling kaitan langsung antara seorang ayah dan anaknya dalam rangka menjelmakan episod saling membantu mencorakkan ketakwaan mereka kepada Allah SWT.

Ke mana hilang jejak peranan hawa? Ada sesuatu yang perlukan lebih ketelitian. Perhatikan suasana yang melatari peristiwa ini. Siapa gerangannya insan hebat yang membayangi peribadi dua insan Nabi Allah ini. Jarang kedengaran namanya tidak memungkinkan yang kelibat dan peranannya hanya sekadar picisan. Siti Hajar. Peribadi segah namanya. Nabi Allah Ibrahim a.s. berdo’a agar mereka dikurniakan zuriat dan Ismail a.s hadir sebagai kurniaan Allah setelah satu penantian. Namun, kerja da’wah Nabi Ibrahim a.s. memaksa baginda meninggalkan Siti Hajar dan Ismail di tanah kering kontang. Baru hendak bersua dan mengenal mesra, terpaksa ditinggal si kecil Ismail a.s. Begitulah kehidupan kecil Nabi Allah Ismail a.s.

Justeru. Masakan mungkin anak sekecil ini mempunyai keperibadian sebegini unggul. Ditinggalkan ayahnya sehelai sepinggang barangkali. Dibesarkan oleh ibunya dalam keadaan serba kekurangan. Tidak merasa kehangatan belaian dan ketegasan seorang yang bergelar ayah. Seribu satu sebab untuk si kecil ini memberontak dan membesar sebagai orang yang punya konflik peribadi. Malah, tidak semena, tika punyai kesempatan bersua ayah kesayangan, disapa pula berita yang dia harus menjadi korban!!

Mungkin ada segelintir para ibu hari ini yang mengapikan anak-anak tentang perihal ketidaktanggungjawaban ayahnya atau mungkin setidaknya memperburuk imej ayah tatkala diperlaku sedemikian rupa. Lebih buruk jika mereka yang hidup dalam keluarga dai’e. Kurang atau enggan memahami dengan jelas perilaku si suami yang menuntut pengorbanan lebih di medan da’wah. Lantas, ketiadaan sang ayah dijadikan asbab segalanya.

Mak, abah kemana. Sehari along tak nampak?” tanya si anak, mengharap jawapan.

Camtulah bapak ko, keluar tetiap malam. Usrah konon, didik anak orang, anak sendiri dilupa”, ujar si ibu dalam emosi.

Lantas si anak memusuhi ayah. Turut sama menjadi mangsa, karier si ayah yang keluar berdakwah di jalan Allah. Persepsi anak, kerja seperti ini hanya membazir masa dan penyebab keruntuhan rumahtangga. Natijahnya, kerukunan rumahtangga menjadi gadaian dan agenda keterusan dakwah termati tidak bernoktah.

Makanya. Wahai kaum ibu. Contohilah wanita ini. Kisahnya terlalu sedikit dinukilkan oleh mata pena. Namun, cukuplah sekadar apa yang saya cuba utarakan. Tidak mungkin Ismail a.s. dengan rela hati menyerahkan tubuhnya pada seorang ayah yang  jarang-jarang mendakap dan mengucup erat dirinya, jika tidak kerana didikan wanita ini. Omongan sebelum tidur barangkali, bicara jalanan mungkinnya atau bisa sahaja bahas serius tentang perihal ayahnya yang sangat hebat. Mendidik anak tentang ayah dan kesucian ruang kerjanya yang mengajak manusia mentaati Allah, dengan sesekali mengangkat dan memuji imej ayah dihadapan anak pasti sahaja bisa melahirkan rasa hormat yang mendalam. Ketiadaan ayah di hadapan mata tidak seharusnya mendatangkan masalah untuk kaum ibu memprojeksikan imej rabbani maya sang ayah yang tekun, berani dan luhur menyebar risalah mulia ini. Nah, pastinya si anak akan saban hari menantikan saat bila ketemu bapa si perwira hatinya.

Contengan kali ini kelihatan agak panjang, namun pengajarannya amat jelas. Hari raya Korban mendatangkan satu seruan yang tidak kurang hebat untuk si ibu. Kaum ibu punyai peranan yang besar. Pendidik semulajadi nombor satu!! Gerak kerja dibelakang tabir ini mungkin tidak mampu menabalkan anda dengan pelbagai hadiah mahupun gelaran hormat, tapi yang pastinya ia telahpun berupaya mencetak perwira-perwira ummah silih berganti. Kisah pengorbanan Siti Hajar yang diabadikan lewat ibadah Sai’e mewajarkan golongan para ibu mendokong tanggungjawab ini dengan penuh sedar. Buat pria dakwah yang mahu mendiri rumah tangga saat cuti sekolah ini, pastikan anda telah memilih ibu yang terbaik untuk bakal-bakal penyambung usaha murni anda.

Justeru, wahai kaum ibu. ibadah qurban masih relevan dengan peranan anda. Buat si anak, sanjungilah kaum Ibu. Buat si ayah mahupun bakal ayah, pastikan ibu anak anda berupaya menjejak kemuliaan Siti Hajar !!

Di kesempatan ini, saya mewakili sidang editorial mengucapkan Selamat Menyambut Eid Adha untuk semua kaum muslimin dan muslimat. Moga tahun yang mendatang menyaksikan lebih banyak pengorbanan dari kita. Eid Mubarak, Taqabbalallahu minna wa minkum!!!


Allahu’alam,

.

Saudara Khair Razlan Othman,
Ketua Editor,
ISMAmelaka.wordpress.com
9 Dzulhijjah 1429 Hijriyah. 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: