Halatuju anda tentukan!

halatuju

Lenguh-lenguh di kaki dan badan baru sahaja pulih sepenuhnya. Satu kenangan manis yang pasti terpahat di ingatan sampai bila-bila. Mendaki Gunung Dato’ dengan ketinggian 2900 kaki dari aras laut tidaklah semudah yang disangka. Bukan tidak pernah melakukan aktiviti out-door sebelum ini, tetapi pendakian kali ini memberi 1001 makna dan pengalaman tersendiri.

Mendaki Gunung Dato’ benar-benar menguji ketahanan mental, fizikal dan emosi si pendaki. Masakan tidak, jalan mendaki yang curam dan berbatu, ditambah pula jalan yang licin selepas waktu hujan menyukarkan lagi pendakian. Bagi yang kurang daya tahannya, mengalah di tengah jalan lalu berpatah balik ke kaki gunung. Bagi yang tinggi daya tahannya, sanggup melalui apa saja hingga berjaya sampai ke puncak. Dan hasilnya, segala penat-lelah hilang begitu sahaja apabila tiba di kawasan puncak yang dipenuhi kabus, sejuk, tenang dan mendamaikan. Syabas buat mereka yang berjaya tiba di puncak!

Ada sesuatu yang ingin dikongsi bersama disebalik pendakian yang memberi 1001 makna tersirat ini. Ibaratkan puncak gunung tersebut adalah matlamat hidup kita. Justeru, demi untuk mencapai matlamat tersebut, segala liku-liku dan rintangan sanggup ditempuh sehinggakan terpaksa melakukan pengorbanan.. kasut koyak, seluar dan baju bersalut lumpur-lumpur hutan.. dan istilah penat bukanlah suatu alasan kukuh untuk tidak meneruskan pendakian demi merealisasikan matlamat untuk menawan puncak!

Bayangkan apa akan jadi sekiranya kita langsung tidak mempunyai matlamat hidup? Sudah tentu hidup ini tidak memberi apa-apa makna kepada diri kita. Hidup terumbang-ambing, dan apakah kita sanggup membiarkan hidup ini hanya mengikut arus dunia moden kini yang sesat lagi menyesatkan? “Sekiranya kamu mengikut kebanyakan orang di bumi ini, nescaya mereka  akan menyesatkan kamu dari jalan Allah..” (Al-An’am: 116).

Boleh jadi sebab utama kita tidak sampai ke puncak pendakian ialah kita tidak meletakkan matlamat kita untuk sampai ke sana. Akhirnya, ikut kata hati, dah penat lalu berhenti.

Jika kita lihat pada sejarah lalu, Karl Marx bercita-cita meluaskan fahaman komunisme. Mahatma Gandhi bercita-cita membebaskan India daripada British tanpa kekerasan. Orang-orang Yahudi sejak dahulu lagi bercita-cita mewujudkan Israel Raya antara Nil dan Euphrates. Mereka mempunyai agenda dan matlamat mereka tersendiri dan berjuang ke arah itu.

Lihat sahaja para nabi, generasi sahabat dan salaf yang mengimani janji-janji Allah dengan sebenar-benar iman. Nabi Ismail sanggup disembelih oleh ayahnya Nabi Ibrahim demi menunaikan perintah Allah. Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq sanggup mengorbankan seluruh hartanya ke jalan Allah.

Panglima Rub’ii bin Amir berkata di hadapan Rustum, Panglima Rom sebelum perang, “Allah mengutuskan kami untuk kami mengeluarkan manusia daripada perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada Tuhan Pencipta manusia, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan hidup di akhirat.”  Dan akhirnya, tentera Islam menang dalam peperangan Qadisiyyah melawan tentera Rom. Begitulah antara kisah-kisah kejayaan bagi generasi terdahulu yang jelas matlamatnya.

Teringat perbualan dengan seorang sahabat karib di dalam perjalanan menuju sebuah destinasi. Sahabat tersebut melontarkan satu persoalan, “Apakah yang enti nak orang ingat tentang enti selepas enti mati nanti?” Soalan yang saya kira mudah bagi mereka yang jelas matlamat hidupnya, dan susah bagi mereka yang samar-samar atau tiada langsung matlamat hidupnya. Sahabat karib tersebut turut berkongsi matlamat hidupnya ingin menjadi seperti Abdul Rahman bin Auf, sahabat Rasulullah yang dikenali sebagai seorang kaya-raya yang menginfakkan harta-hartanya ke jalan Allah. Dan sahabat tersebut dalam usaha ke arah mencapai matlamat yang dicita-citakannya. Moga Allah memudahkan urusannya..

Jadi, bagaimana pula matlamat hidup kita? Sekiranya matlamat hidup kita dunia semata-mata, maka dunialah yang kita dapat, dan sekiranya matlamat hidup kita adalah akhirat dan dunia sebagai jambatannya, maka berusahalah ke arah apa yang kita cita-citakan. Usah jemu dan usah berputus asa selagi mana puncak yang dicita-citakan belum lagi kita tawan!

Hasil Nukilan,

Saudari Nabihah Mat Shah,
Komandan Kem Remaja Muslim 08,
Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM)

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: