Semua dambakan natijah yang baik

Tidak ada di sana mana-mana insan yang inginkan balasan yang buruk dari apa yang diusahakan. Manusia yang waras sentiasa menginginkan pulangan baik dari apa yang dilakukan dalam apa sahaja bidang. Bagi pelajar, segulung ijazah barangkali dengan kepujian. Bagi peniaga, keuntungan hasil dagangan yang dimpikan. Bagi pelabur, tentunya pulangan berlipatganda daripada wang yang dilaburkan. Bagi ibu bapa, tentunya ingin melihat anak-anak yang berjaya pada mata mereka dan kelak akan berbakti kepada mereka di hari tua. Semuanya inginkan faedah daripada apa yang dilakukan. Keinginan kepada natijah yang baik ini tidak terhad kepada orang Islam sahaja, bahkan meliputi seluruh manusia tanpa mengira zaman. Inilah fitrah manusia.

proudmuslim

Islam tidak mengekang fitrah ini bahkan Islam telah datang sebagai teman kepada fitrah ini. Justeru Islam menyeru umatnya kepada kesempurnaan atau ‘excellence‘ dalam apa jua bidang hatta dalam melakukan penyembelihan binatang. Islam datang sebagai penyuluh jalan buat manusia mencapai natijah-natijah baik yang diidamkan. Islam menyesuaikan kehendak naluri manusia ini dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan Allah. Apabila peraturan-peraturan ini diiktiraf dan dipatuhi, maka manusia akan memperoleh natijah baik yang diidamkan di dunia disamping keredhaan Allah dan balasan syurga di akhirat.

Tetapi apabila peraturan ini dipandang enteng, maka lahirlah golongan golongan pelampau yang menindas dan berlaku zalim bagi mencapai natijah baik yang mereka inginkan. Bagi yang ingin kesenangan hidup, maka halal dan haram dipandang sebelah mata. Bagi yang inginkan teman hidup, hubungan nikah tidak lagi dicaknakan. Bagi yang inginkan kerjaya, sanggup menafikan hak orang lain semata-mata inginkan jawatan atau kenaikan pangkat. Semua golongan ini inginkan natijah yang baik bagi diri mereka tetapi jalan yang mereka pilih sebenarnya membawa kepada kemurkaan Allah.

Sedar atau tidak, inilah realiti majoriti masyarakat disekitar kita. Masyarakat yang inginkan kebaikan buat diri mereka berdasarkan neraca pertimbangan mereka semata-mata. Seolah-olah Islam tidak ada suara dalam menentukan jalan hidup mereka dan perintah Allah dan Rasul ditinggalkan di tangga masjid atau ditikar sejadah semata-mata.

Lihatlah disekitar tempat kerja kita. Betapa banyaknya di sana perkara2 yang tidak dizinkan oleh Islam tetapi masih dilakukan. Berapa ramai yang buat ‘claim‘ atau ‘overtime‘ yang melebihi sepatutnya. Berapa ramai yang ‘makan atas angin’ dengan pembelian menggunakan wang syarikat. Berapa ramai yang menjual harta benda syarikat dan mendapat habuan di atas nama ‘lupus kira’? Semuanya atas alasan cari makan, gaji tidak cukup, sebagai komisyen dan sebagainya. Pelbagai alasan untuk menghalalkan perbuatan mereka. Semuanya berniat baik dan inginkan kebaikan untuk diri mereka tetapi jalan yang diambil menempah selaran api neraka.

Inilah penyakit yang perlu diubati. Penyakit yang telah membarah dalam jiwa umat Islam. Inilah satu bentuk ‘al-wahnu’, kecintaan kepada dunia yang terlampau. Memandang dunia ini besar. Tiada berkesan cuba merawat penyakit ini dari luar. Buatlah apa jua sistem pemantauan, buatlah apa jua undang2, keluarlah apa jua fatwa. Jiwa yang berpenyakit ini pasti akan menemui jalan untuk mencapai cita2nya tanpa mengira cara.

Penawar harus diberi kepada jiwa itu sendiri. Penawar yang menghidupkan semula nilai keadilan dan kemanusiaan. Setiap jiwa berpenyakit ini harus ditenangkan dengan keagungan kerajaan Allah yang menjangkaui dunia dan akhirat. Kerajaan Allah yang menciptakan apa sahaja yang dicita citakan manusia bahkan yang telah menciptakan nikmat-nikmat yang tak tergambar oleh manusia di syurga. Kerajaan Allah yang menyediakan balasan neraka bagi yang enggan tunduk dan patuh pada peraturan Allah. Jiwa ini didedahkan dengan perspektif sebenar bahwa dunia ini bukan milik mereka. Di sana ada pemilik sebenar yang sentiasa mengawasi mereka.

Bagi jiwa-jiwa yang telah dirawat, mereka masih lagi manusia dan keinginan kepada kebaikan diri mereka tetap sama. Mereka tidak lupa kepada dunia dan habuannya. Tiada yang berbeza. Hanya kini mereka adalah insan yang terpandu. Akur kepada jalan yang dikehendaki Allah yang akhirnya tetap menjanjikan natijah baik yang mereka inginkan. Mereka tetap menjadi golongan yang mendapat kebaikan, dan kebaikan itu berkekalan sehingga bertemu Tuhan mereka di syurga.

Hasil Nukilan,
Saudara Amru Burhan,
Bendahari Kehormat,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA),
Cawangan Melaka.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: