Destinasi Kedua, Daerah Jasin Rancakkan Amal Kemasyarakatan ISMA Melaka

Merlimau, Jasin – 6 Sep 2009: Suasana hening di subuh hari 16 Ramadhan 1430 H ditemani rintikan hujan sejak pertengahan malam membasahkan jalan dan tanah. Moga dengan basahnya tanah akan membasahkan hati jua… menumbuhkan benih-benih baru yang bersemangat untuk terus memberikan khidmat…..benih-benih yang akan membesar menjadi pohon yang bakal menaungi umat..

Jelajah Khidmat Masyarakat Jasin - 100

Jelajah Khidmat Masyarakat ISMA Melaka Bergambar Bersama Penerima Sumbangan Ramadhan 1430H

Rombongan Khidmat Masyarakat ISMA Melaka dari pelbagai lokasi berlainan memecah kesunyian seawal jam 7.00 pagi menelusuri jalan menuju ke destinasi berkumpul, Masjid Merlimau Utara berhadapan Politeknik Merlimau. sebelum dipecahkan kepada 2 buah pasukan. Pasukan pertama diketuai oleh saudara Aizam bergerak ke rumah seorang nenek yang usianya hampir 80 tahun, mempunyai 8 orang anak perempuan dan sepasang kembar lelaki, tinggal di sebuah rumah yang agak dhaif ditemani seorang saudara yang kurang upaya. Manakala pasukan kedua yang diketuai oleh Cikgu Zul menuju ke rumah kecil serba dhaif yang dihuni oleh seorang pak cik yang sudah berumur bernama Pakcik Daud bersama 2 orang anak lelakinya. Hari ini, Jasin bakal menyaksikan segerombolan petugas ISMA meneruskan siri Jelajah Khidmat Masyarakat 1430H.

Hadirnya kami ke sini..Dengan cita…
Supaya menjadi ahli masyarakat yang lebih peduli..
Menjadi anggota masyarakat  yang lebih bertanggungjawab..
Menjadi anak yang lebih soleh…
Seterusnya berperanan sebagai seorang  individu yang menyumbang kearah pembangunan ummah

Alhamdulillah setibanya di rumah nenek, petugas sekarelawan ISMA Melaka mengambil kesempatan pada minit – minit yang pertama untuk beramah mesra dan bertaaruf serba sedikit terlebih dahulu sebelum terus menyingsing lengan, membanting tulang, mengerah kudrat sedayanya membantu nenek mengemas rumah dan membasuh segala perkakas yang telah lama dan usang, menerangi suasana yang sebelum ini tampak kelam, memberi sinar baru dan semangat untuk terus menempuh kehidupan mendatang.

Sekali lagi petugas dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk mengemas bilik, dapur, membasuh segala perkakas dan mengemas pakaian, manakala sebahagian yang lain mengecat di luar rumah. Kanak kanak kecil yang hadir tak kurang berperanan menghiburkan hati nenek dengan keletah mereka menyebabkan nenek sering tersenyum dan tertawa walau hati berduka mengenangkan anak-anak yang jauh di mata.

Di luar rumah, petugas lelaki bertungkus lumus memastikan kemasan cat menghiasi indah rumah nenek sebagai hadiah menjelangnya Aidilfitri. Moga wajah rumah yang beru memberikan sedikit nafas kelegaan buat nenek sekeluarga.

Jam hampir menunjukkan pukul 1, bahang terik mentari telah mula dirasakan dan peluh mula bercucuran, namun sisa tugasan yang berbaki harus diselesaikan seberapa segera yang mungkin memandangkan konvoi perlu tiba di Kompleks Japerun Serkam pada pukul 2 petang.

Tika saat perpisahan kian hampir, air mata nenek mula bergenang dan para sukarelawan juga turut merasai tempiasnya.  Kehangatan ukhuwwah yang dirasai walau sebentar cuma menghadirkan rasa kasih sayang yang mendalam di hati. Usai bersalaman dan bergambar dalam suasana yang penuh syahdu, konvoi singgah sebentar di surau untuk menunaikan solat Zuhr  sebelum terus ke Kompleks JAPERUN untuk satu lagi aktiviti kemasyarakatan iaitu pengagihan sumbangan kepada penduduk Kampung Serkam berbentuk barang-barang ruji keperluan harian.

Dalam pada masa yang sama, laporan yang diterima daripada Kampung Berangan Enam tidak banyak bezanya.Kehadiran konvoi ISMA Melaka ke situ mengundang 1001 pertanyaan kepada penduduk sekitar.Walaubagaimanapun, ketibaan kami ke tempat lokasi disambut mesra oleh Pak Cik Daud dan jiran sekitarnya.

Tanpa menunggu lama, selesai saja kami bersalaman dengan Pak cik Daud, Cikgu Zul mengumpulkan ahli dan memberikan sedikit taklimat ringkas dan pembahagian kumpulan.Sungguhpun kawasan rumah tersebut tidak sebesar mana, namun petugas tetap diagihkan kepada 2 kumpulan bagi memastikan tugasan yang lebih efisien. Satu kumpuluan bertugas menguruskan bahagian dalam rumah dan yang lain mengecat dinding rumah.

Urusan di dalam rumah diketuai oleh saudara Ridhua dengan skop kerja meliputi kemasan dapur, ruang tamu dan membersihkan bilik air. Secara dasarnya, beginilah bentuk dalam rumah tersebut. Hanya terdiri dari ruangan tamu yang kecil, dapur dan bilik air. Justeru, kerja-kerja mengemas cepat diselesaikan. Manakala, tugas-tugas mengecat diketuai oleh Cikgu Zul. Memiliki sumber manusia yang ramai melajukan lagi tugas-tugas scrapping dan mengecat dinding.

Kegembiraan terpancar dicelah-celah keletihan para peserta. Amal yang tidak seberapa ini berjaya menukilkan cerita penuh gembira buat Pak cik Daud pada hari tersebut. Rasa syukur diucapkan kepada Rabbul ‘alamin dengan rahmat dan kasih sayangNya dapat juga Pak cik Daud memiliki kediaman ‘baru’ dalam mengharungi baki ramadhan yang bakal melabuhkan tirainya. Kami meninggalkan rumah Pak Cik Daud dengan kenangan yang terindah.Kepercayaan telah diberi kepada ISMA untuk kembali ke kampung itu.

Seusai menunaikan solat zuhur berjemaah di masjid utama kampung tersebut.Kami bergegas meninggalkannya menuju ke Kompleks Japerun Serkam bagi menunaikan hak kepada masyarakat dengan memberikan sumbangan kepada 15 keluarga yang memerlukan.

Setibanya kami di Kompleks JAPERUN Serkam, kelihatan penduduk kampung, penerima sumbangan telah hadir menunggu dan kami mengisi ruang-ruang kosong yang ada. Sejurus kemudian YB Serkam tiba dan majlis dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi YDP ISMA Melaka, Ustaz Ahmad.

Antara intipati penting ucapan Ustaz Ahmad adalah Siapa ISMA?

Dalam bahasa yang boleh difahami oleh penduduk kampung, Ustaz Ahmad menerangkan bahawa ISMA adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang begiat cergas dalam usaha-usaha dakwah dan pendidikan dengan slogan “Membina Generasi Harapan”. Melalui usaha-usaha tersebut, ISMA menuju ke arah membina semula generasi Islam yang melaksanakan dalam diri mereka nilai-nilai Islam dalam segenap lapangan hidup atau dengan kata lain membina semula jatidiri dan keperibadian umat. Salah satu nilai yang menjadi landasan dalam perjuangan ISMA ialah nilai kesetiaan bangsa.

ISMA mahu mengajak umat Islam seluruhnya untuk memperbaharui keteguhan hati dalam mepertahankan identiti bangsa mereka. Justeru, ISMA memilih tema kemerdekaan pada tahun ini; “Memartabatkan Kesetiaan Bangsa, Mengimbau Sejarah Silam”.

Kesetiaan ialah keteguhan hati. Kesetiaan bangsa yang dimaksudkan di sini ialah keikhlasan, kejujuran dan keteguhan hati terhadap agenda bangsa yang merupakan misi perjuangan, sebab wujud dan alasan kelangsungannya.

Ustaz Ahmad dalam ucapannya menyeru agar kita kembali kepada asal intima’ (penggabungan) kita sebagai Melayu Muslim. Sebuah bangsa berdaulat tegak berdiri semenjak ribuan tahun yang lalu yang telah menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang dengan risalahnya. Islam telah menjadikan kita bangsa yang mulia, mempunyai matlamat kewujudan dan memiliki risalah kepada manusia. Islam memberikan kita sebab kelangsungan dan tangga menuju kecemerlangan. Sejarah telah membuktikan bahawa Islam dan Melayu adalah sebati dan ia tidak mungkin dapat dipisahkan.

Jelajah Khidmat Masyarakat Jasin - 053Ucapan YDP ISMA Melaka mengenai Siapa ISMA rupanya sangat ditunggu – tunggu oleh YB Serkam, YB. Tuan Haji Ghazalie yang dalam ucapannya mengatakan bahawa persoalan siapa ISMA  akhirnya terjawab pada hari ini setelah lama menimbulkan tanda soal padanya. Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi MAIM seterusnya berkata akan terus menyokong ISMA setelah mengetahu siapa ISMA sebenarnya dan berpendapat usaha yang lebih gigih perlu diadakan untuk menjaga kesatuan bagi memartabatkan bangsa Melayu-Islam. Beliau memuji usaha ISMA Melaka yang turun ke dalam masyarakat untuk memberi khidmat dan menunjukkan teladan Islam yang baik. Beliau juga mengharapkan agar hubungan antara ISMA Melaka dan penduduk Kampung Serkam tidak terhenti pada program ini sahaja, malah ada kesinambungan yang berterusan  dalam usaha menyebarkan kefahaman Islam yang sepatutnya.

Akhirnya, seorang demi seorang penduduk kampung dipanggil untuk menerima sumbangan yang ditetapkan dimana seramai 15 buah keluarga yang telah disenarai pendek oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat menjadi penerima sumbangan pada hari tersebut. Majlis berakhir  kira-kira jam 3.15 petang dengan pengagihan bubur lambuk kepada semua petugas dan penduduk kampung.

Akhirnya, moga kesungguhan beramal dan berkhidmat di bulan ramadhan ini dapat dicontohi ..kesabaran dan ketabahan  dapat diteladani….agar menjadi bekal  dalam melalui jalan ini….

Disediakan Oleh,
Sidang Redaksi ISMA Melaka.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: