KERIS 2009 Gamit Kenangan Indah.

Durian Tunggal, Melaka – 4-6 Disember 2009: Bermula jam 6.00 petang, peserta mula hadir mendaftar bersama penjaga masing-masing. Seperti biasa, peserta kelihatan tertanya-tanya dan kekok bersama suasana dan teman baru. Mungkin persoalan apakah yang akan berlaku selama aku di KERIS 2009 ini bermain di benak fikiran peserta. Setelah solat maghrib, solat isyak dan makan malam, taklimat tentang KRIM dan peraturan kem disampaikan. Penyampaian bersahaja oleh Kem Komandan, saudara Sulaiman menceriakan suasana yang tadinya suram dan kaku. Ditambah dengan aktiviti ice breaking dan taaruf, peserta mula membuka mulut dan melemparkan senyuman.

Satu kelainan daripada rutin biasa, peserta dikejutkan seawal jam 4.30 pagi untuk berqiamullail. Jam 5.00 pagi bersama angin yang senantiasa mendinginkan, peserta tenang menghadap Allah yang Esa. Mungkin pengalaman baru bagi mereka. Setelah solat Subuh, satu tazkirah ringkas tetapi padat disampaikan oleh saudara Rauf bertemakan “Mengenali Ilahi Unggul Peribadi”. Mengambil pengajaran daripada Surah Al-Asr, pengisian penuh bermakna jika dihayati isinya.

Kemudian, peserta disegarkan dengan satu bentuk riadah baru. Mereka dikehendaki melukis sebuah lukisan menggunakan bahan-bahan yang telah mati. Dengan kekreatifan mereka, pelbagai rupa lukisan berjaya dihasilkan dalam masa yang ditetapkan. Aktiviti outdoor pertama yang dinantikan iaitu Explorace dijalankan pada pagi tersebut. Penerangan tentang lokasi checkpoint dan peraturan pertandingan dijelaskan oleh En. Azizi daripada Kem RSG. Setelah dilepaskan, peserta pantas mengejar masa untuk bergelar pemenang. Aktiviti di checkpoint seperti cabaran minda, melalui spiderweb di dalam lumpur sambil menyanyi, menghasilkan karangan dengan huruf S dan mengharungi air pastinya memberikan kenangan yang tidak dapat dilupakan kepada para peserta. Pihak eduwebtv juga hadir mendapatkan liputan dan sempat menemuramah pengarah program serta beberapa orang peserta.

Pada sebelah petangnya, satu ceramah daripada pihak AADK dan aktiviti team building diadakan. Setelah itu, satu lagi aktiviti yang dinantikan peserta iaitu War Games dijalankan. Peserta lelaki “berperang” di dalam air manakala peserta perempuan di atas tanah lapang. Peserta lelaki menggunakan telur ayam sebagai peluru sambil mempertahankan bendera kumpulan serta pada masa yang sama cuba mengambil bendera kumpulan lain. Suasana bertukar gamat dengan pelbagai helah peserta dalam menjayakan misi kumpulan.

Pada sebelah malamnya, diadakan pula aktiviti Jejak Si Buta. Dengan nikmat pandangan yang diambil sebentar, peserta hanya mengikut arahan ketua dalam melalui laluan yang diberikan dan mengikut peraturan yang ditetapkan. Di pertengahan perjalanan, beberapa peserta dikeluarkan daripada kumpulan dan disoal jawab oleh para fasilitator. Tidak cukup dengan aktiviti tersebut, peserta diasak lagi dengan penyampaian bertenaga daripada Dr Azmi berkenaan harga diri dan peribadi remaja cemerlang. Diselangi dengan video dan audio yang menyentuh perasaan, hampir kesemua peserta termasuk urusetia menitiskan air mata mengenang pengorbanan ayah dan ibu. Setelah melalui satu hari yang panjang, peserta dibenarkan melelapkan mata dan nyata mereka keletihan berbanding malam sebelumnya.

Hari terakhir dimulakan dengan perbincangan yang menumpukan kepada kehidupan remaja seorang tokoh pejuang Islam kontemporari iaitu As-Syahid Imam Hasan Al-Banna selepas solat subuh. Setelah pelbagai sesi outdoor pada hari sebelumnya, peserta diberikan satu pengisian terakhir bertajuk “discover true caliph in you” yang disampaikan oleh saudara Muhammad Lukman Al-Hakim, yang turut merupakan Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional Cawangan Melaka. Penyampaian berkisar masalah remaja masa kini, cabaran remaja, petua remaja cemerlang dan contoh remaja dalam sirah Islam. Sesi refleksi bagi menilai kelemahan dan kekuatan kem dijalankan sebelum sesi penutup. Kumpulan Saidatina Aisyah diumumkan sebagai kumpulan terbaik manakala adik Fatin Farhana Bt Mohd Yusof berjaya menyandang hadiah peserta terbaik hasil komitmen dan ketrampilan sepanjang program berlangsung.

Semoga KERIS 2009 meninggalkan kenangan dan noktah-noktah menarik buat semua peserta dan semua pihak yang menganjurkan program ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua urusetia dan semua yang menjayakan program KERIS 2009 ini. Semoga amal yang sedikit ini diterima sebagai amal yang soleh untuk dijadikan bekalan dalam menghadap Allah s.w.t di akhirat kelak. Segala kekurangan harap dimaafi. Jumpa lagi di tahun hadapan!

Disediakan oleh,
Cikgu Abdul Razak Kassim
Pengarah KERIS 2009

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: