Archive for the ‘Dari ISMA Pusat’ Category

Perutusan Sempena Maal Hijrah 1430 & Tahun Baru 2009

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Muhammad SAW serta para sahabat baginda. Selamat menyambut Maal Hijrah ke 1430 dan tahun baru 2009 kepada seluruh muslimin dan muslimat. Tidak lupa untuk kita panjatkan doa kepada yang Maha Pencipta agar dikuatkan iman yang lemah untuk kebahagiaan di kehidupan yang kekal abadi kelak.

Tidak semua yang terkandung di dalam sejarah hijrah itu mampu untuk kita ungkapkan di ruang yang amat terhad ini. Namun kita tidak mahu ketinggalan untuk menatapi mutiara hijrah yang tak pernah padam itu. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dialah yang telah menjadikan malam dan siang silih berganti bagi sesiapa yang mengambil pelajaran atau ingin bersyukur.” (Al Furqan: 62)

Kedatangan awal Muharram mengingatkan kita tentang sejarah hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Sambutlah dengan keazaman yang berkobar-kobar yang disulami dengan muhasabah dan semangat perjuangan… bukan sekadar sesuatu yang nostalgik. Tiada percikan bunga api, tiada pesta lumba motor maupun kereta, tiada juga konsert hiburan yang melalaikan, jauhkan juga dari amalan-amalan bid’ah dan karut yang tidak diketahui sumber serta asal usulnya. 

Begitu indah dan bersopannya umat Islam jika segala perjalanan hidupnya berlandaskan syariat dan adab-adab Islam. Kita ambil sistem dan peraturan Islam untuk kita aplikasikan dalam semua aspek kehidupan secara total, meningkatkan mutu ibadah dan menunaikan segala tanggungjawab sebagai hamba nescaya hati kita akan lebih tenang dan yakin, mendapat keberkatan bahkan mampu mengembalikan semua kegemilangan Islam.

Sempena Maal Hiurah dan tahun baru ini adalah masa yang tepat untuk kita memperbaiki mana yang silap. Menggilap segala aset dan potensi yang ada dalam diri kita. Sesunggungnya Allah Maha mengasihi hamba-hambanya yang bertaubat.

Berhijrahlah daripada yang tidak baik kepada yang baik, daripada yang baik kepada lebih baik. Sesungguhnya kita adalah umat terbaik. 

Masalahnya apakah bekalan kita? Bekalan jalan ini hanya satu sahaja iaitu TAQWA, merasai kebersamaan dengan Allah dan penuh yakin dengan Janji Allah yang pasti benar . Firman Allah maksudnya:

“Dan merupakan hak kami untuk menolong orang-orang yang beriman.” (Ar Rum: 47).

Salam Muharram dan ingatan ikhlas daripada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sempena Sambutan Maal Hijrah 1430 H & Tahun Baru 2009.

JawatanKuasa Pusat ISMA